Sunday, August 14, 2011

Mencintai Al Quran Di Bulan Ramadhan


Firman Allah SWT di dalam Al Quran : (Yaitu) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).” [QS. Al-Baqarah : 185]

Ayat di atas menjelaskan tiga fungsi diturunkannya Al-Qur’an, yaitu :
  1. Petunjuk bagi semua manusia dalam menjalani hidupnya agar mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. 
  2. Sumber rujukan dan bukti bagi  orang yang memahami dan mengkajinya. 
  3. Pedoman untuk membezakan antara yang halal dan yang haram  serta antara yang haq dan yang bathil.
AMALAN AL QURAN YANG DIGALAKKAN SEPANJANG RAMADHAN
  
1. Tadarus dan Tadabbur Al-Quran.

Membaca Al Qur’an adalah amal yang diperintahkan untuk dilakukan setiap muslim setiap hari dan lebih ditekankan lagi pada bulan Ramadhan. Hal tersebut karena Ramadhan adalah bulan diturunkannya Al-Qur’an dan pada setiap Ramadhan malaikat Jibril as senantiasa datang kepada Rasulullah saw untuk bertadarrus Al-Qur’an bersamanya. 

Firman Allah : “Maka apakah mereka tidak mentadabburi Al-Quran ataukah hati mereka terkunci“ (QS. Muhammad : 24)


2. Tahsin Tilawah.
Tilawah atau tartil Al-Qur’an meruapakan ibadah yang bernilai pahala tinggi. Kita juga dituntut membacanya dengan baik dan betul:

Rasulullah saw bersabda, “Bacalah Al-quran kerana sesungguhnya Al-quran itu datang pada hari kiamat sebagai syafaat bagi pembacanya“. ( HR. Muslim)

Rasulullah Saw bersabda: “Barangsiapa membaca satu huruf dari Al-Quran maka dia mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan sama dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan, ‘Alif Laam Miim adalah satu huruf, namun (yang aku maksud) ialah Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf”. (HR.Tirmidzi)

3. Berinteraksi dengan Al-Qur’an.
Antara yang seharusnya dilakukan oleh seorang mukmin terhadap Al-Qur’an terutamanya di bulan Ramadhan ialah membacanya, mendengarkannya, menghafalnya, mentadabburi (merenungkan)nya, mengamalkannya, menyampaikannya dan sebagainya. Semua amalan tersebut adalah kebajikan yang berpahala besar di sisi Allah.

Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya  tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan yang menjadi kemegahan umatku ialah al-Quran yang mulia.”

KEISTIMEWAAN & KELEBIHAN MEMBACA AL QURAN.

1. Ibadah Yang Mulia

Rasulullah s.a.w telah bersabda bermaksud:
Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Quranul Karim (ibadat yang bukan wajib) bahawa sebaik-baik amalan umatku ialah membaca al-Quran.

2. Al-Quran Merupakan Satu Hidangan dari Allah.

Sabda Rasulullah lagi bermaksud “Sesungguhnya al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T, maka hendaklah kamu terima hidangan ALlah sebanyak mana yang kamu boleh”

3. Senjata Untuk Membersihkan Jiwa

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud : Daripada Ibnu Umar r.a berkata “Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.


4. Terpelihara dari Kelalaian

Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah bersabda,  “Sesiapa yang membaca al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam,  tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai”

Diolah dari sumber:
1) http://e-taalim.jais.gov.my/
2) http://www.quranpoin.com/

Kebaikan Berpuasa Dari Sudut Sains & Perubatan


Puasa merupakan satu amalan dan ibadah yang menyihatkan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “ Berpuasalah, nescaya kamu akan menjadi sihat”.

Para penyelidik ilmu perubatan juga telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit.

Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit2nya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat2 moden. Dan puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.


Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Dr. Alan Cott,  seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.

Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan.

Pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan SeDunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu:
(1) glukos darah tinggi
(2) Tekanan darah tinggi
(3) Lipid darah tinggi dan
(4) lebih berat badan atau obesiti.

Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini. Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan : “Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”

Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan. Puasa dapat menambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya.

Tuesday, August 9, 2011

Ahlan Ya Ramadhan!

Ramadhan Al Mubarak. Bulan paling mulia yang dinantikan umat Islam. Kini, hadirnya penuh keberkatan menjengah iman dan jiwa yang mungkin kering-kontang sekian lama. Selamat beribadah dan selamat membasuh jiwa dan rohani  dari dosa-dosa dan noda.



Semoga hati yang ikhlas dan tulus berpuasa dan beramal akan mengecapi indahnya ibadat dan manisnya berdamping dan bercinta dengan Rabbul Jalali wal Ikram. Subhanallah.

Perbanyakkanlah amal ibadat
 Bercintalah dengan Kalamullah (Al Quran) & zikrullah
Perindahkanlah akhlak, tutur kata dan budimu
Gandakan kesabaran & kesyukuran
Hulurkan sedekah & kebajikan
Moga Ramadhan anda berhasil penuh makna!

Selamat berpuasa buat anda semua. 
Semoga kita semua berjaya menempuhi akademi Ramadhan penuh barakah ini. 
 

Monday, May 2, 2011

Muslimah Berkualiti Negara Dihormati

JOHAN SYARAHAN AGAMA ( PEREMPUAN ) PERINGKAT ZON 1
MTQ SEKOLAH-SEKOLAH DAERAH SETIU, TERENGGANU

NORFARAHANA BINTI MOHAMAD




بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين الصلاة  والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين
 وعلى آله وصحبه أجمعين

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

            Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang saya hormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, barisan guru-guru serta rakan-rakan pelajar yang saya kasihi sekalian

” Muslimah Berkualiti Negara Dihormati ”. Begitulah indahnya tajuk syarahan saya pada pagi yang berbahagia ini.  Sebelum kaki mengorak langkah, sebelum bibir mengatur bicara, izinkan saya mengupas tajuk syarahan  saya terlebih dahulu. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, MUSLIMAH ditakrifkan sebagai perempuan beragama Islam iaitu individu yang mempunyai nilai peribadi Islam dan megamalkannya dalam kehidupan. BERKUALITI  pula  bermaksud mempunyai mutu dan nilai manakala NEGARA pula memberi erti suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan manakala DIHORMATI ertinya dipandang tinggi dan disanjungi.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Muslimah berkualiti merujuk kepada muslimah yang mempunyai peribadi cemerlang, berilmu dan beriman, bertamadun tinggi dan berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada pembentukan sebuah masyarakat seterusnya mengangkat sesebuah negara ke mercu kebanggaan di mata negara-negara lain. Untuk melahirkan muslimah berkualiti yang kita impikan, pembentukan peribadi muslimah yang mempunyai ciri-ciri kualiti seorang insan muslim dalam aspek akidah, akhlak, ibadat, sosial, ekonomi dan lain-lain perlu direalisasikan.

Wacana fikrah saya yang pertama : Muslimah Yang Beriman dan Bertaqwa Membina Negara Disegani.
Pengabdian diri dengan sepenuh hati terhadap segala perintah Allah sudah tentu bertitik tolak daripada keimanan yang utuh, kemudian dipancarkan melalui kesungguhan amalan melahirkan ummah cemerlang bertepatan dengan penegasan Allah dalam Surah al-Mu'minun ayat 1 :
( قَدْ أَفْلَحَ اَلمُؤْمِنُون )

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman.

Ini terbukti dengan keimanan dan ketakwaan Sumayyah Ummu Ammar bin Yassir  yang teguh tidak tergugat biarpun diazab penuh dahsyat oleh tuannya.  Iman yang mantap dan teguh inilah yang memperkasakan jati diri seorang muslimah dan menyelamatkan mereka daripada gejala negatif seperti pergaulan bebas, pelacuran serta penzinaan.

Wacana fikrah saya yang kedua : 

Muslimah yang berakhlak mulia dan suci teras negara disanjungi. Akhlak mulia merupakan bunga diri seorang muslimah yang akan menjadi perisai keimanan mereka Penekanan akhlak mulia dalam diri setiap muslimah sejak dari kecil seperti menutup aurat, berbudi bahasa dan bersopan santun akan menjauhkan masyarakat dari keruntuhan moral dan masalah sosial dalam sesebuah masyarakat.. Ini amat bertepatan dengan motif utama pengutusan Rasulullah ke muka bumi demi memurnikan akhlak manusia sebagaimana Sabda Baginda :

( إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق )
Maksudnya:
"SesungguhNya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Wacana fikrah saya yang ketiga Muslimah yang Menguasai Pelbagai Bidang Ilmu Tonggak Negara Dihormati

            Seorang muslimah yang berpengetahuan, menguasai pelbagai bidang ilmu dan membuat perubahan dalam masayarakat akan menaikkan kedudukan masyarakat dan negara  di mata masyarakat lain. Lihatlah bagaimana, Ummul Mukminin, Saidatina Aishah ra juga memberikan sumbangan besar kepada perkembangan Islam lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu Islam. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai isteri Nabi saw malah beliau mempunyai kebijaksanaan dan daya ingatan yang kuat dan meriwayatkan banyak hadis-hadis Nabi saw dan beliau juga menjadi  salah seorang rujukan kepada sahabat-sahabat.

Fiman Allah dalam Surah Al Mujadilah ayat ke 11:
 
Maksudnya : Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi pengetahuan beberapa darjat

Wacana fikrah saya yang keempat : Muslimah Berpandangan Jauh dan Optimis Asas kecemerlangan Negara 

Berpandangan jauh maksudnya berfikir ke hadapan dan melakukan anjakan pradigma dalam setiap tindakan supaya kita sentiasa berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat-masyarakat membangun seantero dunia. Optimis pula merupakan keyakinan yang tinggi dan keazaman yang kuat untuk menyahut cabaran. Kejayaan Datuk Paduka Sharifah Mazlina melakar nama sebagai wanita pertama di dunia merentasi Benua Antartika secara solo adalah hasil dari sikap sentiasa berpandangan jauh dan optimis dalam melakukan sesuatu perkara, perlu dicontohi dan diteladani. Ini bertepatan dengan firman Allah :
Firman : ( فاستبقوا الخيرات )
Maksudnya : Berlumba-lumbalah kamu ke arah kebaikan.

Waca fikrah saya yang kelima : Muslimah Yang Mengamalkan Amar Makruf Nahi Mungkar Membantu Kegemilangan negara disegani
 
Maksudnya:
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan". (Al-Taubah: 71)

Setiap muslimah perlu bertanggung jawab terhadap anggota masyarakatnya. Mengamalkan amar makruf nahi munkar, nasihat menasihati dan melaksanakan dakwah fardiah akan melahirkan anggota masyarakat yang terikat antara satu sama lain dengan satu ikatan ‘aqidah yang kukuh yang tiada tolok bandingnya. Semakin kukuh keimanan anggota masyarakat semakin gemilanglah sesebuah negara.

Wacana fikrah saya yang keenam : Muslimah Kreatif dan Proaktif Mencetus Kejayaan Negara Dihormati

       Dalam arus perkembangan dunia hari ini, seorang muslimah mestilah mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan sikap proaktif untuk menghasilkan idea-idea dan mencetuskan penemuan atau ciptaan baru. Terkini, Dr Mimi Sakinah pensyarah dari Universiti Malaysia Pahang telah memenangi beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam penyelidikan-penyelidikan beliau. Kejayaan individu muslimah yang hebat ini akan menaikkan nama negara di mata negara lain di dunia.

Sidang hadirin dan hadirat yang dihomati.

Pepatah ada mengatakan : Pemuda tiang negara dan pemudi harapan bangsa.. Kesimpulannya, muslimah yang berkualiti merupakan harapan negara yang akan menjadi pemangkin bagi mencapai kejayaan dan kemajuan sesebuah negara. Jadi, ingin saya tegaskan di sini bahawa ”Muslimah berkualiti Negara Dihormati”. 

Saya sudahi syarahan saya pada kali ini dengan lafaz yang mulia ” Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu a’laikum warahmatullahi wabarakatuh


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...