Monday, March 26, 2012

Keluarga Muslim Asas Pembinaan Ummah Gemilang


 Alhamdulillah, Norfarahana Muhammad memenangi Johan Syarahan Agama 2012 peringkat Zon 1 Daerah Setiu dan akan menggalas cabaran  ke peringkat daerah.

Perkongsian teks syarahan ~ moga dapat manfaat bersama..

  Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
            Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang saya hormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, barisan guru-guru serta rakan-rakan pelajar yang saya kasihi sekalian

” Keluarga Muslim Asas Pembinaan Ummah Gemilang ”. Begitulah indahnya tajuk syarahan saya pada pagi yang berbahagia ini.  Sebelum kaki mengorak langkah, sebelum bibir mengatur bicara, izinkan saya mengupas tajuk syarahan saya terlebih dahulu. 

Menurut kamus dewan edisi keempat KELUARGA merujuk kepada seisi rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri atau beserta anak-anak.Frasa KELUARGA MUSLIM merujuk kepada ikatan kekeluargaan berdasarkan perkahwinan yang merealisasikan syariat Islam dalam hidup mereka.ASAS pula ialah sesuatu yang menjadi sandaran atau pendukung kepada yang lain. PEMBINAAN membawa  maksud kegiatan dan usaha untuk membangunkan sesuatu. Manakala frasa UMMAH GEMILANG bermaksud umat yang paling baik dan cemerlang.

Sidang hadirin yang dimuliakan,
Kesejahteraan dan kegemilangan satu-satu umat adalah bergantung kepada kesejahteraan dan kekuatan unit-unit keluarga yang membentuk umat tersebut. Bertolak dari hakikat inilah Islam mementingkan kehidupan berkeluarga yang cemerlang dari aspek akidah, ibadat, sosial, akhlak, pendidikan dan lain-lain. Islam membuktikan kepada kita bahawa.


Wacana fikrah saya yang pertama : Keluarga Muslim Yang Beriman dan Bertaqwa Asas Ummah Cemerlang.
Keluarga muslim  adalah keluarga yang dibangun atas dasar ketaatan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Taala.   Mereka mengamalkan cara hidup berasaskan Al Quran dan Sunnah Rasulullah dalam semua aspek kehidupan. Ketaqwaan yang tinggi, keimanan yang utuh, kemudian dipancarkan melalui kesungguhan amalan melahirkan ummah cemerlang bertepatan dengan penegasan Allah dalam Surah al-Mu'minun ayat 1 :
( قَدْ أَفْلَحَ اَلمُؤْمِنُون )
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.

Ini terbukti dengan keimanan dan ketakwaan keluarga Yasir bin Amir yang teguh tidak tergugat biarpun diazab penuh dahsyat kerana mempertahankan kalimah tauhid.  Iman yang mantap dan teguh inilah menjadi benteng dan tunjang kekuatan sesebuah keluarga. Tapi malangnya hari ini, lantaran rapuhnya tunjang akidah dalam institusi keluarga, jiwa ummah dirobek rakus ajaran sesat Ayah Pin tersasar mencari Tuhan serta kebiadaban Black Metal memijak al-Quran. Jelaslah keluarga yang jitu imannya menjadi paksi ummah yang sejahtera.

Wacana Fikrah yang Kedua: Keluarga Muslim Penyayang Tonggak Ummah Terbilang.
Rasulullah SAW merupakan tauladan terbaik dalam pembentukan keluarga penyayang. Baginda seorang suami yang pengasih, seorang bapa yang bertanggungjawab serta datuk yang penyayang.
Biah solehah yang diwujudkan dalam keluarga seperti penekanan terhadap penguasaan ilmu, akhlak terpuji yang disemai, serta kasih sayang yang melimpah ruah terhadap anak isteri ternyata membuahkan keluarga bahagia. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
ارحموا ترحمون
Maksudnya :  Berkasih sayanglah kamu, maka kamu akan dirahmati                                                    

Namun, pada hari ini banyaknya berlaku kes-kes perceraian, jenayah kekeluargaan, penderaan dan sebagainya adalah disebabkan kegagalan mereka menghayati tatacara kehidupan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Statistik perceraian contohnya menunjukkan peningkatan kes saban tahun. Malah, statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam. Ini berlaku kerana kurangnya kasih sayang dan persefahaman dalam rumahtangga.

Hadirin hadirat yang dimuliakan,
Wacana fikrah saya yang ketiga : Keluarga Muslim Berakhlak Mulia dan Berperibadi Tinggi Teras Ummah Gemilang.
Penekanan akhlak mulia dalam diri setiap anggota keluarga muslim dan pembentukan nilai-nilai murni anak-anak sejak dari kecil seperti menutup aurat, berbudi bahasa dan bersopan santun akan menjauhkan masyarakat dari keruntuhan moral dan masalah sosial. Ini amat bertepatan dengan motif utama pengutusan Rasulullah ke muka bumi demi memurnikan akhlak manusia sebagaimana Sabda Baginda
( إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق )
Maksudnya: "SesungguhNya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”

Namun, lantaran kepincangan institusi akhlak dalam keluarga, maka masalah sosial seperti budaya punk, vandalisme, rempit dan lain-lain dalam masyarakat kita semakin parah dan membimbangkan. Kempen rumahku syurgaku, budi bahasa budaya kita, serta hormat pada yang tua sayang pada yang muda merupakan langkah bijak kerajaan menyahut seruan Rasulullah untuk melahirkan institusi keluarga yang utuh. Terbuktilah, keluarga yang berakhlak mulia mampu memartabatkan ummah.

Warga dewan yang dimuliakan,
Wacana fikrah saya yang keempat : Keluarga Muslim Yang Berpendidikan Tonggak Ummah Dihormati
Sebuah keluarga yang berjaya dan bahagia adalah lahir daripada institusi yang menekankan pendidikan dan sikap cintakan ilmu pengetahuan dalam jiwa anggotanya. Kita renungi kisah Puan Hajjah Awiah Awi, Tokoh Ibu Mithali Peringkat Kebangsaan 2010 yang gigih membesarkan sembilan anak lelakinya sehingga berjaya cemerlang dalam hidup mereka. Kesempitan hidup tidak menghalang beliau memberi pendidikan berkualiti buat anak-anaknya.  Malah, kini beliau telah menubuhkan Madrasan Tahfiz Al-Quran An-Nuur dan turut membiayai pembelajaran penuntut yang kurang berkemampuan. Firman Allah SWT dalam surah                                                     ayat                 :

Firman : ( فاستبقوا الخيرات )
Maksudnya : Berlumba-lumbalah kamu ke arah kebaikan.

Imbau kembali, ketokohan puteri Rasulullah, Saidatina Fatimah Az Zahrah yang berjaya  mendidik anak-anak beliau sehingga menjadi ilmuan yang disegani rakan dan taulan. Hasan dan Husin dipilih Allah menjadi ketua pemuda ahli syurga manakala Zainab pula menjadi sasterawan ternama pada zamannya. Justeru, keluarga berilmu pengetahuan mampu mengangkat martabat ummah ke tahap yang tinggi dan cemerlang.

Wacana fikrah saya yang kelima : Keluarga Muslim Yang Mengamalkan Amar Makruf Nahi Mungkar Membantu Kegemilangan Ummah disegani
Firman Allah SWT
Maksudnya:
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan". (Al-Taubah: 71)

Setiap keluarga muslim perlu bertanggungjawab terhadap anggota masyarakatnya. Mengamalkan amar makruf nahi munkar, melaksanakan dakwah, dan nasihat menasihati akan melahirkan anggota masyarakat yang terikat antara satu sama lain dengan satu ikatan ‘aqidah yang kukuh yang tiada tolok bandingnya. Semakin kukuh keimanan anggota masyarakat semakin gemilanglah sesebuah negara.

Hadirin hadirat  yang dimuliakan,
Wacana Fikrah Keenam: Keluarga Muslim Yang Penyabar Tonggak Ummah Terbilang.
Keluarga muslim yang ditunjangi sifat sabar yang tinggi mampu menghadapi segala gelombang ujian dan dugaan yang berlaku dalam kehidupan.

Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 156 :
الذين اذا أصبتهم مصيبة قالوا انا لله وانا اليه رجعون
 Maksudnya : Iaitu orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata “ Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Imbau sahaja, kesabaran serta kecekalan rasul-rasul ulul azmi yang begitu kental menghadapi ujian daripada kaum mereka serta betapa cekalnya hati seorang ibu tua daripada Bani Dinar yang redha dengan kematian ayah, suami dan anaknya sebaik sahaja dikhabarkan mereka gugur di medan Uhud. Berkat kesabaran serta menginsafi nasib keluarga yang hidup kesempitan Nik Nur Madihah binti Nik Kamal muncul pelajar terbaik SPM 2009 peringkat kebangsaan dengan memperolehi 20A. Justeru, bersamalah menyemai benih kesabaran yang jitu dalam keluarga demi negara yang terbilang.

Sidang hadirin dan hadirat yang dihomati.
Kesimpulannya, keluarga muslim merupakan asas yang akan menjadi pemangkin bagi mencapai kejayaan dan kemajuan sesebuah ummah. Jadi, ingin saya tegaskan di sini bahawa ”Keluarga Muslim Asas Pembinaan Ummah Gemilang”.
Saya sudahi syarahan saya pada kali ini dengan lafaz yang mulia ” Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu a’laikum warahmatullahi wabarakatuh

3 comments:

  1. tajuk ni , tajuk syarahan saye nanti , thanks kerana berkongsi :)

    ReplyDelete
  2. Harap dapat dikongsikan . -Semoga Berjaya ye.

    ReplyDelete
  3. tajuk ni , tajuk syarahan saye nanti , thanks kerana berkongsi :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...