Thursday, May 10, 2012

Festival Nasyid SMK Saujana 2012

Gambar-gambar kenangan sepanjang program Festival Nasyid SMK Saujana 2012. Terima kasih warga SMKS atas kerjasama menjayakan program ini.

Tarikh         : 28 Februari 2012
Hari            : Selasa
Penglibatan : Semua Unit Beruniform

Juara - RELA

Naib Juara - PENGAKAP
Ketiga - PPIM




 







Hakim-hakim yang bijaksana

Penonton yang setia


Sunday, April 1, 2012

MTQ Peringkat Daerah Setiu 2012

Majlis Tadarus Al Quran & Festival Nasyid peringkat daerah Setiu telah diadakan pada 27 Mac 2012 bertempat di SK Guntong, Setiu, Terengganu. 4 pelajar SMK Saujana telah mewakili Zon 1 untuk ke peringkat daerah. Alhamdulillah, walaupun tidak terpilih untuk ke peringkat negeri Terengganu, keempat-empat peserta kita telah menunjukkan saingan yang membanggakan. Tahniah diucapkan buat mereka. Semoga lebih berjaya di MTQ tahun akan datang. Insya Allah.

 Tempat Ketiga Tilawah Al Quran (Perempuan)
Nor Hidayah binti Amran

Tempat Ketiga Tilawah Al Quran (Lelaki)
Mohd Fahmi bin Anuar


Naib Johan Syarahan (Lelaki)
Mohamad Syafiq bin Mohamad

Tempat Ketiga Syarahan (Perempuan)
Nor Farahana binti Mohamad

Thursday, March 29, 2012

Rezeki Yang Halal Menjamin Keberkatan Hidup


Walaupun hanya berjaya mendapat Naib Johan Syarahan Lelaki di peringkat daerah, ia adalah  kejayaan yang cukup manis. Tahniah buat Mohd Syafiq Mohamad. 

Teks asal ini adalah sebelum proses edit dan penambahbaikan untuk diselarikan dengan masa yang diperuntukkan untuk syarahan. Moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang sudi membaca.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
            Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang saya hormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, barisan guru-guru serta rakan-rakan pelajar yang saya kasihi sekalian.

Pada pagi yang berbahagia ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Rezeki Yang Halal Menjamin Keberkatan Hidup”.

Hadirin yang dimuliakan,
Sebelum saya lancar berbicara, izinkan saya menjelaskan beberapa kalimah penting yang menjadi intisari tajuk syarahan saya pada hari ini. Ya! Mengikut Kamus Dewan Edisi, Rezeki bermaksud segala bahan keperluan  untuk hidup. Manakala halal ialah tatacara hidup orang Islam yang menitik beratkan aspek kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan sihat. Keberkatan pula bermaksud perkembangan dan kebaikan.

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,
Jelas kepada kita bahawa rezeki yang diperolehi daripada sumber yang halal mampu menjana kehidupan manusia yang berkat dunia dan akhirat.

Wacana fikrah saya yang pertama : Mencari Rezeki Yang Halal Merupakan Satu Tuntutan Agama

Ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu dari Nabi SAW:
طلب الحلال فريضة على كل مسلم
Maksudnya : Mencari rezeki yang halal itu wajib bagi setiap orang Islam

Setiap manusia berkewajipan mencari rezeki bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan lain-lain sama ada untuk diri sendiri mahupun orang yang berada di bawah tanggungannya.

Rasulullah SAW pernah berkongsi perniagaan bersama seorang pemuda Quraisy bernama As Saib bin Abi As SAib dan ketika berusia 25 tahun, Baginda Rasulullah juga memperniagakan barang dagangan kepunyaan Siti Khadijah ke Syam. Jelaslah kepada kita bahawa mencari rezeki yang halal merupakan tuntutan agama dan sunnah Rasulullah.

Wacana fikrah saya yang kedua: Mencari rezeki yang halal adalah satu ibadah

Mencari rezeki yang halal merupakan satu ibadah sekiranya pencarian tersebut bertepatan dengan kehendak syarak. Firman Allah dalam surah Al Mukminun ayat 51.
Maksudnya : Makanlah rezeki yang halal dan lakukanlah amalan soleh.

Setiap amal soleh seseorang hamba adalah bergantung kepada makanan yang halal. Makanan, minuman dan pakaian yang haram menyebabkan doa seseorang tidak dimakbulkan  dan diri mudah terjerumus ke lembah maksiat. Lihat hari ini, ramai umat Islam yang melakukan ibadat tetapi masih melakukan maksiat akibat makanan yang haram.



Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Wacana fikrah saya yang ke tiga : Mencari rezeki yang halal dapat menjaga maruah agama

لأن يأخذ أحدكم خيله  فيحتطب على ظهره خير لهم

Maksudnya : Demi Allah, jika seseorang diantara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu api, kemudian dipikul ke pasar untuk bekerja,dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain.

Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang semestinya dipertahankan. Yang manakah lebih mulia seorang usahawan atau seorang pengemis?

Jelaslah kepada kita bahawa bekerja mencari rezek yang halal akan bertambah martabat serta kemuliaannya. Sebaliknya, mereka yang berat tulang akan memberi imej buruk dan negatif pada pandangan masyarakat dan keji pada kacamata Islam itu sendiri.

Wacana fikrah saya yang keempat : Rezeki yang halal dapat menjamin keberkatan hidup dunia dan akhirat

Sabda Rasulullah SAW :

كل لحم نبت من سحت فالنار أولى به

Maksudnya : Daging yang tumbuh daripada rezeki yang haram neraka adalah paling utama baginya.

Kehidupan bagi umat Islam bukanlah terhenti di dunia sahaja bahkan lebih utama bagi kita adalah kehidupan hakiki di akhirat. Rezeki yang haram akan menjerumuskan seseorang ke neraka di akhirat kelak. Sama-samalah kita mengambil berat dan prihatin dengan sumber pendapatan agar menjamin kebahagiaan yang hakiki kelak.

Wacana fikrah saya yang kelima : Rezeki yang halal menjana keluarga bahagia

Hadirin yang dimuliakan,

Apa yang kita makan akan menentukan segala tindakan dan amalan seharian. Rezeki yang halal menjerumuskan seseorang individu ke arah ketaatan kepada Allah, amal soleh dan akhlak mahmudah. Ibubapa memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Sabda Rasulullah SAW :

"‏كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه"‏‏‏

Maksudnya : "Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." ? (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sejarah telah membuktikan, generasi di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat beramal soleh, berakhlak mulia dan tidak terlibat dengan kemungkaran kerana ibu bapa masing-masing mementingkan sumber rezeki yang halal.

Wacana fikrah saya yang keenam : Rezeki yang halal dapat menjana ekonomi umat Islam

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Islam telah menggariskan pelbagai cara untuk mendapatkan rezeki. Perniagaan adalah satu cara untuk meningkat kan ekonomi.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Berniagalah kamu, 9/10 rezeki adalah menerusi perniagaan .

Malaysia terkenal dengan produk hub halal telah berjaya menjana ekonomi umat Islam dengan menembusi pasaran dunia.Jelaslah kepada kita ekonomi umat Islam menjadi lebih kukuh kerana keberkatan dari Allah SWT

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan

Marilah kita sama-sama mengamalkan cara hidup Islam dalam mencari rezeki yang halal kerana rezeki yang halal itu satu tuntutan agama yang mulia. Jadi, ingin saya tegaskan di sini bahawa ”Rezeki Yang Halal Menjamin Keberkatan Hidup”.
Saya sudahi syarahan saya pada kali ini dengan lafaz yang mulia ” Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu a’laikum warahmatullahi wabarakatuh 

Monday, March 26, 2012

Keluarga Muslim Asas Pembinaan Ummah Gemilang


 Alhamdulillah, Norfarahana Muhammad memenangi Johan Syarahan Agama 2012 peringkat Zon 1 Daerah Setiu dan akan menggalas cabaran  ke peringkat daerah.

Perkongsian teks syarahan ~ moga dapat manfaat bersama..

  Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
            Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang saya hormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, barisan guru-guru serta rakan-rakan pelajar yang saya kasihi sekalian

” Keluarga Muslim Asas Pembinaan Ummah Gemilang ”. Begitulah indahnya tajuk syarahan saya pada pagi yang berbahagia ini.  Sebelum kaki mengorak langkah, sebelum bibir mengatur bicara, izinkan saya mengupas tajuk syarahan saya terlebih dahulu. 

Menurut kamus dewan edisi keempat KELUARGA merujuk kepada seisi rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri atau beserta anak-anak.Frasa KELUARGA MUSLIM merujuk kepada ikatan kekeluargaan berdasarkan perkahwinan yang merealisasikan syariat Islam dalam hidup mereka.ASAS pula ialah sesuatu yang menjadi sandaran atau pendukung kepada yang lain. PEMBINAAN membawa  maksud kegiatan dan usaha untuk membangunkan sesuatu. Manakala frasa UMMAH GEMILANG bermaksud umat yang paling baik dan cemerlang.

Sidang hadirin yang dimuliakan,
Kesejahteraan dan kegemilangan satu-satu umat adalah bergantung kepada kesejahteraan dan kekuatan unit-unit keluarga yang membentuk umat tersebut. Bertolak dari hakikat inilah Islam mementingkan kehidupan berkeluarga yang cemerlang dari aspek akidah, ibadat, sosial, akhlak, pendidikan dan lain-lain. Islam membuktikan kepada kita bahawa.


Wacana fikrah saya yang pertama : Keluarga Muslim Yang Beriman dan Bertaqwa Asas Ummah Cemerlang.
Keluarga muslim  adalah keluarga yang dibangun atas dasar ketaatan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Taala.   Mereka mengamalkan cara hidup berasaskan Al Quran dan Sunnah Rasulullah dalam semua aspek kehidupan. Ketaqwaan yang tinggi, keimanan yang utuh, kemudian dipancarkan melalui kesungguhan amalan melahirkan ummah cemerlang bertepatan dengan penegasan Allah dalam Surah al-Mu'minun ayat 1 :
( قَدْ أَفْلَحَ اَلمُؤْمِنُون )
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.

Ini terbukti dengan keimanan dan ketakwaan keluarga Yasir bin Amir yang teguh tidak tergugat biarpun diazab penuh dahsyat kerana mempertahankan kalimah tauhid.  Iman yang mantap dan teguh inilah menjadi benteng dan tunjang kekuatan sesebuah keluarga. Tapi malangnya hari ini, lantaran rapuhnya tunjang akidah dalam institusi keluarga, jiwa ummah dirobek rakus ajaran sesat Ayah Pin tersasar mencari Tuhan serta kebiadaban Black Metal memijak al-Quran. Jelaslah keluarga yang jitu imannya menjadi paksi ummah yang sejahtera.

Wacana Fikrah yang Kedua: Keluarga Muslim Penyayang Tonggak Ummah Terbilang.
Rasulullah SAW merupakan tauladan terbaik dalam pembentukan keluarga penyayang. Baginda seorang suami yang pengasih, seorang bapa yang bertanggungjawab serta datuk yang penyayang.
Biah solehah yang diwujudkan dalam keluarga seperti penekanan terhadap penguasaan ilmu, akhlak terpuji yang disemai, serta kasih sayang yang melimpah ruah terhadap anak isteri ternyata membuahkan keluarga bahagia. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
ارحموا ترحمون
Maksudnya :  Berkasih sayanglah kamu, maka kamu akan dirahmati                                                    

Namun, pada hari ini banyaknya berlaku kes-kes perceraian, jenayah kekeluargaan, penderaan dan sebagainya adalah disebabkan kegagalan mereka menghayati tatacara kehidupan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Statistik perceraian contohnya menunjukkan peningkatan kes saban tahun. Malah, statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam. Ini berlaku kerana kurangnya kasih sayang dan persefahaman dalam rumahtangga.

Hadirin hadirat yang dimuliakan,
Wacana fikrah saya yang ketiga : Keluarga Muslim Berakhlak Mulia dan Berperibadi Tinggi Teras Ummah Gemilang.
Penekanan akhlak mulia dalam diri setiap anggota keluarga muslim dan pembentukan nilai-nilai murni anak-anak sejak dari kecil seperti menutup aurat, berbudi bahasa dan bersopan santun akan menjauhkan masyarakat dari keruntuhan moral dan masalah sosial. Ini amat bertepatan dengan motif utama pengutusan Rasulullah ke muka bumi demi memurnikan akhlak manusia sebagaimana Sabda Baginda
( إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق )
Maksudnya: "SesungguhNya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”

Namun, lantaran kepincangan institusi akhlak dalam keluarga, maka masalah sosial seperti budaya punk, vandalisme, rempit dan lain-lain dalam masyarakat kita semakin parah dan membimbangkan. Kempen rumahku syurgaku, budi bahasa budaya kita, serta hormat pada yang tua sayang pada yang muda merupakan langkah bijak kerajaan menyahut seruan Rasulullah untuk melahirkan institusi keluarga yang utuh. Terbuktilah, keluarga yang berakhlak mulia mampu memartabatkan ummah.

Warga dewan yang dimuliakan,
Wacana fikrah saya yang keempat : Keluarga Muslim Yang Berpendidikan Tonggak Ummah Dihormati
Sebuah keluarga yang berjaya dan bahagia adalah lahir daripada institusi yang menekankan pendidikan dan sikap cintakan ilmu pengetahuan dalam jiwa anggotanya. Kita renungi kisah Puan Hajjah Awiah Awi, Tokoh Ibu Mithali Peringkat Kebangsaan 2010 yang gigih membesarkan sembilan anak lelakinya sehingga berjaya cemerlang dalam hidup mereka. Kesempitan hidup tidak menghalang beliau memberi pendidikan berkualiti buat anak-anaknya.  Malah, kini beliau telah menubuhkan Madrasan Tahfiz Al-Quran An-Nuur dan turut membiayai pembelajaran penuntut yang kurang berkemampuan. Firman Allah SWT dalam surah                                                     ayat                 :

Firman : ( فاستبقوا الخيرات )
Maksudnya : Berlumba-lumbalah kamu ke arah kebaikan.

Imbau kembali, ketokohan puteri Rasulullah, Saidatina Fatimah Az Zahrah yang berjaya  mendidik anak-anak beliau sehingga menjadi ilmuan yang disegani rakan dan taulan. Hasan dan Husin dipilih Allah menjadi ketua pemuda ahli syurga manakala Zainab pula menjadi sasterawan ternama pada zamannya. Justeru, keluarga berilmu pengetahuan mampu mengangkat martabat ummah ke tahap yang tinggi dan cemerlang.

Wacana fikrah saya yang kelima : Keluarga Muslim Yang Mengamalkan Amar Makruf Nahi Mungkar Membantu Kegemilangan Ummah disegani
Firman Allah SWT
Maksudnya:
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan". (Al-Taubah: 71)

Setiap keluarga muslim perlu bertanggungjawab terhadap anggota masyarakatnya. Mengamalkan amar makruf nahi munkar, melaksanakan dakwah, dan nasihat menasihati akan melahirkan anggota masyarakat yang terikat antara satu sama lain dengan satu ikatan ‘aqidah yang kukuh yang tiada tolok bandingnya. Semakin kukuh keimanan anggota masyarakat semakin gemilanglah sesebuah negara.

Hadirin hadirat  yang dimuliakan,
Wacana Fikrah Keenam: Keluarga Muslim Yang Penyabar Tonggak Ummah Terbilang.
Keluarga muslim yang ditunjangi sifat sabar yang tinggi mampu menghadapi segala gelombang ujian dan dugaan yang berlaku dalam kehidupan.

Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 156 :
الذين اذا أصبتهم مصيبة قالوا انا لله وانا اليه رجعون
 Maksudnya : Iaitu orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata “ Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Imbau sahaja, kesabaran serta kecekalan rasul-rasul ulul azmi yang begitu kental menghadapi ujian daripada kaum mereka serta betapa cekalnya hati seorang ibu tua daripada Bani Dinar yang redha dengan kematian ayah, suami dan anaknya sebaik sahaja dikhabarkan mereka gugur di medan Uhud. Berkat kesabaran serta menginsafi nasib keluarga yang hidup kesempitan Nik Nur Madihah binti Nik Kamal muncul pelajar terbaik SPM 2009 peringkat kebangsaan dengan memperolehi 20A. Justeru, bersamalah menyemai benih kesabaran yang jitu dalam keluarga demi negara yang terbilang.

Sidang hadirin dan hadirat yang dihomati.
Kesimpulannya, keluarga muslim merupakan asas yang akan menjadi pemangkin bagi mencapai kejayaan dan kemajuan sesebuah ummah. Jadi, ingin saya tegaskan di sini bahawa ”Keluarga Muslim Asas Pembinaan Ummah Gemilang”.
Saya sudahi syarahan saya pada kali ini dengan lafaz yang mulia ” Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu a’laikum warahmatullahi wabarakatuh

Saturday, February 25, 2012

Sambutan Maulidur Rasul SMK Saujana 1433H

Sekitar sambutan Maulidur Rasul 1433H yang disambut penuh meriah. Alhamdulillah, syukur kerana Allah telah mempermudahkan urusan kami. perjalanan program berjalan dengan baik dan lancar. Diharap dapat menerapkan rasa cinta warga SMK Saujana pada Rasulullah dan sunnah baginda.





















Perarakan Terbaik ~ PPIM


"PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...