Monday, May 2, 2011

Muslimah Berkualiti Negara Dihormati

JOHAN SYARAHAN AGAMA ( PEREMPUAN ) PERINGKAT ZON 1
MTQ SEKOLAH-SEKOLAH DAERAH SETIU, TERENGGANU

NORFARAHANA BINTI MOHAMAD




بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين الصلاة  والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين
 وعلى آله وصحبه أجمعين

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

            Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang saya hormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, barisan guru-guru serta rakan-rakan pelajar yang saya kasihi sekalian

” Muslimah Berkualiti Negara Dihormati ”. Begitulah indahnya tajuk syarahan saya pada pagi yang berbahagia ini.  Sebelum kaki mengorak langkah, sebelum bibir mengatur bicara, izinkan saya mengupas tajuk syarahan  saya terlebih dahulu. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, MUSLIMAH ditakrifkan sebagai perempuan beragama Islam iaitu individu yang mempunyai nilai peribadi Islam dan megamalkannya dalam kehidupan. BERKUALITI  pula  bermaksud mempunyai mutu dan nilai manakala NEGARA pula memberi erti suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan manakala DIHORMATI ertinya dipandang tinggi dan disanjungi.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Muslimah berkualiti merujuk kepada muslimah yang mempunyai peribadi cemerlang, berilmu dan beriman, bertamadun tinggi dan berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada pembentukan sebuah masyarakat seterusnya mengangkat sesebuah negara ke mercu kebanggaan di mata negara-negara lain. Untuk melahirkan muslimah berkualiti yang kita impikan, pembentukan peribadi muslimah yang mempunyai ciri-ciri kualiti seorang insan muslim dalam aspek akidah, akhlak, ibadat, sosial, ekonomi dan lain-lain perlu direalisasikan.

Wacana fikrah saya yang pertama : Muslimah Yang Beriman dan Bertaqwa Membina Negara Disegani.
Pengabdian diri dengan sepenuh hati terhadap segala perintah Allah sudah tentu bertitik tolak daripada keimanan yang utuh, kemudian dipancarkan melalui kesungguhan amalan melahirkan ummah cemerlang bertepatan dengan penegasan Allah dalam Surah al-Mu'minun ayat 1 :
( قَدْ أَفْلَحَ اَلمُؤْمِنُون )

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman.

Ini terbukti dengan keimanan dan ketakwaan Sumayyah Ummu Ammar bin Yassir  yang teguh tidak tergugat biarpun diazab penuh dahsyat oleh tuannya.  Iman yang mantap dan teguh inilah yang memperkasakan jati diri seorang muslimah dan menyelamatkan mereka daripada gejala negatif seperti pergaulan bebas, pelacuran serta penzinaan.

Wacana fikrah saya yang kedua : 

Muslimah yang berakhlak mulia dan suci teras negara disanjungi. Akhlak mulia merupakan bunga diri seorang muslimah yang akan menjadi perisai keimanan mereka Penekanan akhlak mulia dalam diri setiap muslimah sejak dari kecil seperti menutup aurat, berbudi bahasa dan bersopan santun akan menjauhkan masyarakat dari keruntuhan moral dan masalah sosial dalam sesebuah masyarakat.. Ini amat bertepatan dengan motif utama pengutusan Rasulullah ke muka bumi demi memurnikan akhlak manusia sebagaimana Sabda Baginda :

( إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق )
Maksudnya:
"SesungguhNya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Wacana fikrah saya yang ketiga Muslimah yang Menguasai Pelbagai Bidang Ilmu Tonggak Negara Dihormati

            Seorang muslimah yang berpengetahuan, menguasai pelbagai bidang ilmu dan membuat perubahan dalam masayarakat akan menaikkan kedudukan masyarakat dan negara  di mata masyarakat lain. Lihatlah bagaimana, Ummul Mukminin, Saidatina Aishah ra juga memberikan sumbangan besar kepada perkembangan Islam lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu Islam. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai isteri Nabi saw malah beliau mempunyai kebijaksanaan dan daya ingatan yang kuat dan meriwayatkan banyak hadis-hadis Nabi saw dan beliau juga menjadi  salah seorang rujukan kepada sahabat-sahabat.

Fiman Allah dalam Surah Al Mujadilah ayat ke 11:
 
Maksudnya : Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi pengetahuan beberapa darjat

Wacana fikrah saya yang keempat : Muslimah Berpandangan Jauh dan Optimis Asas kecemerlangan Negara 

Berpandangan jauh maksudnya berfikir ke hadapan dan melakukan anjakan pradigma dalam setiap tindakan supaya kita sentiasa berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat-masyarakat membangun seantero dunia. Optimis pula merupakan keyakinan yang tinggi dan keazaman yang kuat untuk menyahut cabaran. Kejayaan Datuk Paduka Sharifah Mazlina melakar nama sebagai wanita pertama di dunia merentasi Benua Antartika secara solo adalah hasil dari sikap sentiasa berpandangan jauh dan optimis dalam melakukan sesuatu perkara, perlu dicontohi dan diteladani. Ini bertepatan dengan firman Allah :
Firman : ( فاستبقوا الخيرات )
Maksudnya : Berlumba-lumbalah kamu ke arah kebaikan.

Waca fikrah saya yang kelima : Muslimah Yang Mengamalkan Amar Makruf Nahi Mungkar Membantu Kegemilangan negara disegani
 
Maksudnya:
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan". (Al-Taubah: 71)

Setiap muslimah perlu bertanggung jawab terhadap anggota masyarakatnya. Mengamalkan amar makruf nahi munkar, nasihat menasihati dan melaksanakan dakwah fardiah akan melahirkan anggota masyarakat yang terikat antara satu sama lain dengan satu ikatan ‘aqidah yang kukuh yang tiada tolok bandingnya. Semakin kukuh keimanan anggota masyarakat semakin gemilanglah sesebuah negara.

Wacana fikrah saya yang keenam : Muslimah Kreatif dan Proaktif Mencetus Kejayaan Negara Dihormati

       Dalam arus perkembangan dunia hari ini, seorang muslimah mestilah mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan sikap proaktif untuk menghasilkan idea-idea dan mencetuskan penemuan atau ciptaan baru. Terkini, Dr Mimi Sakinah pensyarah dari Universiti Malaysia Pahang telah memenangi beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam penyelidikan-penyelidikan beliau. Kejayaan individu muslimah yang hebat ini akan menaikkan nama negara di mata negara lain di dunia.

Sidang hadirin dan hadirat yang dihomati.

Pepatah ada mengatakan : Pemuda tiang negara dan pemudi harapan bangsa.. Kesimpulannya, muslimah yang berkualiti merupakan harapan negara yang akan menjadi pemangkin bagi mencapai kejayaan dan kemajuan sesebuah negara. Jadi, ingin saya tegaskan di sini bahawa ”Muslimah berkualiti Negara Dihormati”. 

Saya sudahi syarahan saya pada kali ini dengan lafaz yang mulia ” Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu a’laikum warahmatullahi wabarakatuh


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...